Berita

KUSKOP cadang Sabah sediakan belanjawan pembangunan koperasi negeri

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mencadangkan kerajaan Sabah supaya menyediakan inisiatif pembangunan koperasi dalam peruntukan belanjawan tahunan negeri untuk memperkasa sektor berkenaan di negeri itu.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata ia bagi memastikan inisiatif pembangunan koperasi digariskan dalam belanjawan negeri akan dapat melengkapkan usaha kementeriannya menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membantu gerakan koperasi di Sabah.

Beliau berkata terdapat beberapa kerajaan negeri telah mengambil pendekatan menyediakan inisiatif serta peruntukan pembangunan koperasi dalam belanjawan negeri masing-masing, antaranya ialah Melaka, Pahang dan Johor.

“Kerajaan negeri ini telah menyediakan peruntukan pembangunan koperasi di bawah inisiatif belanjawan negeri masing-masing untuk membantu gerakan koperasi mereka, selain daripada belanjawan atau inisiatif belanjawan disediakan kementerian melalui SKM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara (HKN) di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor itu diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat dengan menonjolkan aktiviti-aktiviti dilaksanakan oleh koperasi seluruh negara.

Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe, Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.

Ewon turut melihat keperluan untuk mewujudkan jawatankuasa penyelarasan gerakan koperasi di Sabah dianggotai agensi terlibat dalam pembangunan keusahawanan bagi memudahkan penyaluran inisiatif belanjawan kementerian.

Langkah itu penting bagi memastikan sektor koperasi di Sabah dapat menikmati sekali gus mengoptimumkan inisiatif dan peruntukan berkaitan, katanya.

Beliau berkata KUSKOP juga mahu bekerjasama dengan kerajaan Sabah bagi memberi anugerah merangkumi pelbagai kategori sebagai inisiatif mengiktiraf kejayaan mana-mana koperasi terbaik di negeri itu pada tahun depan.

“Ini juga sebagai usaha mempromosi gerakan koperasi dalam kalangan rakyat Sabah. Sehingga kini, Sabah mempunyai 1,707 koperasi…sudah tentu banyak koperasi yang telah mencapai kejayaan. Empat koperasi di Sabah tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, Ewon berkata Sabah buat pertama kali dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik bermula 27 hingga 30 Julai ini.

“Setakat ini, kita telah menerima penyertaan lebih 180 peserta daripada 19 negara dalam kawasan Asia Pasifik. Saya berharap program seumpama itu akan dapat merancakkan aktiviti ekonomi dan keusahawanan di Sabah,” katanya.

— BERNAMA