Berita

KKM naik taraf 138 klinik zon utara dan kelantan babit peruntukan lebih 34 juta

KUALA LUMPUR: Sebanyak 138 klinik kesihatan dan desa di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan terlibat dalam kerja-kerja baik pulih dan naik taraf dengan peruntukan keseluruhan lebih RM34 juta bagi tahun ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa yang berkongsi infografik menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf berkenaan melibatkan 40 projek di Kedah dengan status satu projek telah siap, 26 dalam pelaksanaan dan 13 pada status prapelaksanaan dengan peruntukan RM8.4 juta.

Di Pulau Pinang pula, 14 projek dengan satu klinik telah siap, 12 dalam pelaksanaan manakala satu lagi dalam prapelaksanaan melibatkan RM3.5 juta.

Empat projek sedang dilaksanakan di Perlis melibatkan peruntukan RM1.5 juta, manakala 42 projek baik pulih dan naik taraf dilaksanakan di Perak dengan 36 dalam pelaksanaan, lima telah siap dan satu projek dalam prapelaksanaan melibatkan peruntukan RM11.8 juta.

Sementara itu, Dr Zaliha menerusi Twitter memaklumkan di Kelantan sebanyak 38 projek dilaksanakan dengan satu telah siap, 31 dalam pelaksanaan dan enam dalam prapelaksanaan membabitkan peruntukan berjumlah RM9.3 juta.

Pada 17 Julai lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan yakin dapat menyelesaikan semua projek naik taraf membabitkan 436 klinik daif di seluruh negara menjelang penghujung tahun ini dengan peruntukan lebih RM100 juta.

— BERNAMA