Berita

Inisiatif KKDW tingkat ekonomi usahawan luar bandar

Menyasarkan lebih 10,000 pengunjung setiap hari dengan sasaran jualan RM200,000, Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor yang bermula hari ini, 21 hingga 23 Julai (Ahad) mampu memulihkan kembali ekonomi terutama untuk usahawan luar bandar menerusi inisiatif di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Agensi.

Ini kerana kumpulan sasar bagi program ini ialah usahawan luar bandar yang mendapat bimbingan kementerian, agensi dan usahawan luar bandar yang berpotensi serta memerlukan bantuan khidmat nasihat untuk meningkatkan produktiviti dan memperkembangkan perniagaan.

Selain itu, program ini juga disertai oleh bahagian dari kementerian dan agensi yang menyediakan program pengukuhan keusahawanan serta pembiayaan kewangan kepada usahawan luar bandar.

Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Ramlan Harun berkata pelaksanaan program itu bertujuan menjadi platform bagi mempromosikan kemudahan serta insentif yang disediakan oleh kementerian dan agensi yang dapat membantu perkembangan perniagaan usahawan luar bandar.

“Selain itu, objektif penganjuran karnival ini bagi mempromosi dan menjadi salah satu medium untuk mewujudkan akses pasaran produk serta perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli.

“Seterusnya meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar,” katanya.

Berlangsung selama tiga hari di Stadium Sungai Besar, Mini KUD @ Sungai Besar 2023 membabitkan lima agensi di bawah KKDW iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), FELCRA Berhad dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) selain pembabitan dari Bahagian Pembangunan Usahawan Desa (UD) serta Pejabat KKDW Selangor.

Bukan itu saja, program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Sabak Bernam selaku rakan strategik khususnya dalam perancangan serta pelaksanaan aktiviti tarikan pengunjung seperti Fun Run, Pertandingan Liga Penalti dan Senamrobik.

Selain itu, karnival ini turut membabitkan pameran pendidikan daripada institusi pendidikan khususnya di bawah MARA seperti UniKL, GiatMARA, Kolej Polytech MARA (KPM) dan Institut Kemahiran MARA (IKM).

Mini KUD @ Sungai Besar 2023 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Julai (Sabtu) dan diiringi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menyaksikan penyerahan bantuan dan kemudahan dari agensi di bawah KKDW.

Sebagai fokus utama pelaksanaan Mini KUD @ Sungai Besar ini, Ramlan berkata seramai lebih 100 usahawan termasuk penjual masakan panas, penjaja kecil yang menjual pelbagai makanan dan minuman dari pelbagai agensi di bawah KKDW akan merancakkan program kali ini.

Katanya, majoriti usahawan luar bandar yang terbabit pula adalah terdiri daripada kategori makanan dan minuman; fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak; kecantikan dan kesihatan; kategori kraftangan dan produk pertanian.

“Program itu turut mengetengahkan Rural Business Challenge (RBC) Bistro disertai pemenang RBC yang lalu terutama dari Selangor bagi mencipta akses pasaran meluas, meningkatkan aktiviti jualan, pelebaran jaringan perniagaan seterusnya berupaya mengembangkan perniagaan usahawan luar bandar khususnya usahawan RBC.

“Pemberian baucar penggalak jualan dengan jumlah keseluruhannya bernilai RM30,000 yang akan diberikan secara percuma kepada semua pengunjung akan bagi merancakkan lagi jualan usahawan yang menyertai Program Mini KUD @ Sungai Besar ini,” katanya.

Bagi memeriahkan lagi suasana karnival, pelbagai tarikan pengunjung dirancang antaranya selawat perdana, demonstrasi dan jualan Kereta Kawalan Jauh (RC), servis motosikal percuma, perkhidmatan gunting rambut, bazar Rakyat Peduli Prihatin FELCRA Berhad; Fun Run, Senamrobik, petting Zoo dan banyak lagi.

Pertandingan memasak, tarian Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika KEMAS, eSport – FIFA, PUBG dan Mobile Legend Bang Bang (MLBB), pertandingan Pakaian Tradisi dan Beragam Kanak-kanak, Liga Penalti dan Netball Shoot Kanak-Kanak dan Wanita turut dianjurkan bagi memeriahkan karnival.

Pengunjung akan dihiburkan oleh barisan artis terkenal negara iaitu kumpulan XPDC, Nabila Razali, Ronnie Hussin dan GB Band menerusi persembahan konsert.

Bukan itu saja, cabutan bertuah dengan hadiah utama motosikal juga antara yang menanti pengunjung di Mini KUD @ Sungai Besar ini.

Penganjuran Mini KUD @ Sungai Besar kali ini turut menampilkan kelainan menerusi gabungan komponen program keusahawanan Mini KUD dan Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA).

Ramlan berkata KUOA adalah program tahunan JAKOA yang diadakan untuk membantu usahawan luar bandar meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan masing-masing ke arah peningkatan pendapatan.

“Gabungan dua program keusahawanan ini adalah salah satu platform kepada usahawan Orang Asli khususnya untuk memantapkan kemahiran komunikasi dan teknik penjualan serta pemasaran bagi memperkukuhkan kekuatan produk dan perkhidmatan yang diusahakan.

“Sebagai fokus utama Mini KUD @ Sungai Besar ini juga, komponen KUOA akan mempamerkan budaya dan gaya hidup Orang Asli menerusi Perkampungan Mini Orang Asli, tarian sewang, aktiviti menyumpit, masakan dan minuman Orang Asli dan sudah tentunya jualan produk serta perkhidmatan 50 usahawan Orang Asli yang merangkumi pelbagai kategori termasuk Makanan dan Minuman serta Kraftangan,” katanya.

Sumber: Harian Metro