Berita

Kerajaan Perpaduan wujudkan kestabilan politik negara – Anwar

PETALING JAYA – Kerajaan Perpaduan yang lahir daripada cetusan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berjaya mempertaut kesatuan permuafakatan dan selanjutnya mewujudkan kestabilan politik negara.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu memberi ruang ke arah pertumbuhan ekonomi negara, keyakinan pelabur domestik dan luar negara serta mengatur tatakelola pemerintahan yang mampan.

“Berbekalkan tekad dan semangat ‘Membangun Malaysia Madani’, Kerajaan Perpaduan beriltizam untuk berusaha dengan tekun memacu pertumbuhan serta mempertahankan keadilan dan nilai murni manusiawi.

“Kebijakan ekonomi yang direncanakan oleh Jemaah Menteri, penjawat awam dan sektor swasta melonjak pertumbuhan ke 5.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan jumlah pelaburan RM71.4 bilion berjaya diperoleh pada suku pertama 2023,” katanya sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah di Istana Negara hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan mengakui tentang cabaran di masa depan kerana dunia masih bergelut dengan adu kuasa dan peperangan.

Jelas beliau, kerancakan perdagangan ekonomi sejagat kian terbantut dan krisis iklim serta persekitaran berada di tahap genting.

“Arakian yang dituntut adalah merangka dasar negara yang lebih kental dan ampuh. Insya-Allah, Pelan Perindustrian Negara akan diluncurkan pada Ogos ini, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 pada akhir September dan Belanjawan Madani kedua pada Oktober.

“Kesemuanya tatkala Tuanku masih bersemayam di atas singgahsana negara. Dalam semua kerangka besar yang bakal diluncurkan akan menjadikan landasan tatakelola yang baik, telus dan bertanggungjawab,” katanya.

Selain itu, katanya, Kerajaan Perpaduan tidak akan bertolak ansur atau membenarkan sistem beraja diperolok mahupun diganggu-gugat atas nama kebebasan dan institusi itu mesti tersemat serta dipelihara dengan baik.

“Kerajaan pastinya akan mempertahankan dengan memastikan tindakan yang setimpal akan diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba mengancam sistem beraja dan keluhuran Perlembagaan.

“Sesuai dengan bidalan Melayu bahawa, ‘Biar patah dayung di tangan, dengan jari ku kayuh jua’,” katanya.

Sementara itu, katanya, Kerajaan Perpaduan sedang menumpukan usaha untuk menangani isu kos sara hidup, kenaikan harga barang dan memastikan keterjaminan makanan yang kini menjadi fenomena di seluruh dunia.

Tambah beliau, Malaysia akan terus berperanan dengan lebih aktif dalam menyuarakan pendirian serta memelihara kepentingan negara di forum-forum antarabangsa khususnya dalam isu-isu kedaulatan negara, kemanusiaan, keselamatan dan pengurusan bencana. – KOSMO! ONLINE