Berita

Kebijaksanaan Agong wujudkan kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi – PM

KUALA LUMPUR – Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melahirkan Kerajaan Perpaduan telah berjaya mempertaut kesatuan permuafakatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permuafakatan yang wujud telah melahirkan kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Syukur ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah kurnia dan keizinan-Nya jua, Kerajaan Perpaduan yang lahir daripada cetusan kebijaksanaan Tuanku telah berjaya mempertaut kesatuan permuafakatan.

“Dan selanjutnya mewujudkan kestabilan politik negara, lantas memberi ruang ke arah pertumbuhan ekonomi negara, keyakinan pelabur domestik dan luar negara serta mengatur tatakelola pemerintahan yang mampan dan wajar menjamin kesejahteraan dan keselesaan rakyat,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agung di Istana Negara hari ini.

Bagi pihak Jemaah Menteri, Anwar mengulangi tekad Kerajaan Perpaduan untuk bertugas sebagai satu pasukan dan mengukuhkan persefahaman agar tidak ada kelompok negeri yang terpinggir dan tersisih.

“Mewakili Jemaah Menteri dan seluruh rakyat Malaysia, patik ingin menzahirkan sekalung penghargaan kepada Tuanku sejak bersemayam di atas takhta dalam menzahirkan sikap keprihatinan yang tinggi.

“Raja laksana pohon dan tentunya institusi ini mesti tersemat dipelihara dengan baik dan Kerajaan tidak akan bertolak ansur atau membenarkan sistem beraja diperolok dan diganggu gugat atas nama kebebasan.

“Lantaran itu, kerajaan pastinya akan mempertahankan dengan memastikan tindakan yang setimpal akan diambil ke atas manamana pihak yang cuba mengancam sistem beraja dan keluhuran Perlembagaan,” kata Anwar.

Anwar berkata, kebijakan ekonomi yang diusahakan Kabinet, penjawat awam dan sektor swasta telah melonjakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 5.6 peratus.

Jumlah pelaburan bernilai RM71.4 bilion juga berjaya diperoleh pada suku pertama 2023.

Katanya, Pelan Perindustrian Negara akan diluncurkan pada Ogos ini, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 pada akhir September dan Belanjawan Madani kedua pada bulan Oktober.

“Kesemuanya tatkala Tuanku masih bersemayam di atas singgahsana negara. Dalam semua kerangka besar yang bakal diluncurkan, akan menjadikan landasan tatakelola yang baik, telus dan bertanggungjawab,” kata Anwar.

Selain usaha pemulihan ekonomi, Kerajaan Perpaduan juga sedang menumpukan usaha untuk menangani isu kos sara hidup, kenaikan harga barang selain memastikan keterjaminan makanan yang kini menjadi fenomena di seluruh dunia.

Beberapa pendekatan seperti Konsep Payung Rahmah, Karnival Jualan Aidilfitri, keusahawanan, inovasi sosial seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat adalah merupakan sebahagian ikhtiar untuk membantu rakyat telah mendapat sambutan yang
menggalakkan.

Malaysia menurut Perdana Menteri, akan terus berperanan dengan lebih aktif dalam menyuarakan pendirian serta memelihara kepentingan negara di forum-forum antarabangsa khususnya dalam isu-isu kedaulatan negara, kemanusiaan, keselamatan dan pengurusan bencana.

“Sumbangan Tuanku dalam mengangkat kepentingan negara dalam bidang diplomatik dan pelaburan amat dihargai,” kata Anwar.- MalaysiaGazette