Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Khatam Sama‘ Hadis Jami‘ Al-Tirmidhi dan Al-Syamail Al Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 yang berlangsung selama 10 hari sejak 13 November lalu.
Bertempat di Masjid Putra, Putrajaya, majlis dimulakan dengan tausiah oleh Menteri Waqaf Mesir, Al-‘Allamah Syeikh Dr Usama al-Sayyid al-Azhari, diikuti syarahan perdana dan pengijazahan oleh Mufti Besar India, Al-‘Allamah Syeikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari.
Perdana Menteri berkata, kedua-dua tokoh ulama tersebut memberi sumbangan besar dalam mengingatkan orang ramai tentang kepentingan memelihara ilmu, menghidupkan tradisi pengajian hadis serta menjadikan adab dan akhlak sebagai sebahagian daripada kehidupan.
“Penganjuran ini merupakan kesinambungan usaha Kerajaan MADANI sejak 2024, bermula dengan Sahih al-Bukhari, diikuti Sahih Muslim pada 2025 dan Jami‘ Al-Tirmidhi serta Al-Syamail Al-Muhammadiyyah pada tahun ini.
“Hasratnya adalah untuk mendekatkan masyarakat kepada warisan Rasulullah SAW melalui bimbingan para ulama,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri berkata, ilmu tidak seharusnya terhenti pada bacaan dan pendengaran semata-mata.
Sebaliknya jelas beliau, ia perlu difahami, dihayati dan diterjemahkan dalam amalan, termasuk dalam cara kita memimpin, melaksanakan tanggungjawab dan berhubung sesama insan.
“Mudah-mudahan tradisi ilmu ini terus subur di tanah air, membentuk masyarakat yang beradab, memperkukuh nilai amanah dan keadilan serta menjadi asas kepada kesejahteraan negara.
“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan keberkatan kepada Malaysia. Insya-Allah,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
