Mendekati masyarakat luar bandar, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menyempurnakan Program Santuni MADANI yang dianjurkan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) di Raub, Pahang.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, penganjuran program itu merupakan sebahagian daripada usaha IPCC untuk menggalakkan hubungan lebih erat antara pemimpin tertinggi dengan penduduk setempat menerusi inisiatif ‘Satu Pemimpin Satu Kampung’.
Katanya, pendekatan tersebut turut membuka ruang interaksi secara langsung bagi memahami keperluan komuniti setempat dan menyasarkan pelbagai perkhidmatan kerajaan khususnya di bawah KDN.
“YB Menteri turut mengadakan kunjungan ke rumah Tok Empat Kampung Kela bagi menyantuni penduduk setempat serta menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada lapan keluarga yang mempunyai ahli dalam kategori orang kurang upaya (OKU) dan asnaf,” kata KDN menerusi laman sosialnya.
Menurutnya, program itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan barangan keperluan dan peralatan bernilai keseluruhan RM20,000 kepada lima buah surau di sekitar Kampung Kela.
Kata KDN, sumbangan tersebut diharap dapat membantu meningkatkan kemudahan dan keselesaan masyarakat dalam melaksanakan aktiviti keagamaan serta kemasyarakatan.
Tambahnya, dalam usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap fungsi dan tanggungjawab IPCC, program tersebut turut dimanfaatkan sebagai platform penyebaran maklumat berkaitan peranannya sebagai badan pemantau bebas terhadap tatakelakuan anggota dan pegawai polis.
“Melalui interaksi secara langsung dan pameran yang disediakan, masyarakat berpeluang memperoleh penerangan mengenai fungsi IPCC serta kepentingan integriti, akauntabiliti dan pematuhan tatakelakuan dalam perkhidmatan kepolisan,” ujarnya.
Antara pengisian yang dilaksanakan adalah pameran pasukan Senoi Praaq oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), perkhidmatan pengeluaran dokumen pengenalan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), saringan kesihatan percuma dan pameran produk dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Raub, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta pameran perkhidmatan IPCC. -MalaysiaMADANI
