Berita

Malaysia usul mekanisme kerjasama, hulur bantuan tangani masalah jerebu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mengikuti rapat perkembangan masalah kebakaran hutan dan lahan di Indonesia yang mengakibatkan jerebu rentas sempadan.

Beliau berkata, kejadian di negara jiran itu menimbulkan permasalahan sehingga menjejaskan kesihatan dan kehidupan rakyat Malaysia, termasuk memaksa penutupan sekolah di beberapa negeri dan kawasan. 

“Saya memperaku kesungguhan pemerintah Indonesia yang telah mengerahkan puluhan ribu anggota serta pelbagai aset udara bagi membendung permasalahan yang semakin membimbangkan ini. 

“Kita sedar bahawa usaha menangani bencana sedemikian bukan suatu tugas yang mudah, apatah lagi dengan keluasan kawasan terjejas dan tantangan cuaca yang tidak menentu,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Justeru itu kata beliau, dalam semangat kebersamaan dan hubungan akrab sesama negara tetangga, Malaysia berpandangan bahawa cabaran rentas sempadan harus ditangani dengan tekad dan tanggungjawab bersama. 

Malah menurut beliau, Malaysia telah mengusulkan mekanisme kerjasama di peringkat ASEAN bagi memperkukuh penyelarasan, kesiapsiagaan dan tindakan kolektif dalam menangani jerebu rentas sempadan. 

Perdana Menteri berkata, Malaysia kekal bersedia menghulurkan bantuan sepertimana yang telah ditawarkan sebelum ini. 

“Semangat kejiranan yang sebenar menuntut kita untuk saling mendukung tatkala berdepan musibah, dengan aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat serantau sentiasa menjadi keutamaan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI