Berita

Perkasa tadbir urus, mantap prestasi perbelanjaan peruntukan penyelenggaraan JPN Selangor

Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Kementerian Pendidikan (KPM) telah mempengerusikan Sesi Libat Urus (SLU) Penyelarasan Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Penyelenggaraan KPM bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

BPA berkata, perbincangan SLU tersebut dipengerusikan Setiausaha Bahagian BPA, Nik Husni Nik Soh dan dihadiri oleh jurutera serta penolong jurutera dari seluruh daerah di negeri Selangor.

Katanya, penganjuran sesi libat urus itu mencerminkan komitmen berterusan BPA dalam memperkukuh tadbir urus, mempertingkat kecekapan perbelanjaan serta memastikan setiap peruntukan yang disalurkan untuk kerja penyelenggaraan memberi manfaat kepada institusi pendidikan. 

“Bagi BPA, kejayaan pengurusan peruntukan bukan sekadar diukur melalui jumlah penyaluran, tetapi turut dinilai berdasarkan keberkesanan pelaksanaan, kualiti kerja serta impak yang dapat dinikmati oleh warga pendidikan,” kata BPA menerusi laman media sosialnya.

Sehubungan itu menurutnya, BPA terus memberikan penekanan terhadap pemantauan prestasi perbelanjaan, pematuhan spesifikasi, kemajuan pelaksanaan serta penyempurnaan projek penyelenggaraan kecil dalam tempoh yang ditetapkan. 

Jelasnya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap peruntukan diurus secara optimum, berhemah dan berorientasikan keberhasilan.

Tambahnya, melalui kerjasama strategik yang erat antara BPA, JPN dan PPD, usaha memperkukuh penyelarasan serta mempercepat pelaksanaan kerja penyelenggaraan akan terus diperkasakan bagi memastikan kemudahan dan infrastruktur pendidikan sentiasa berada pada tahap yang selamat, kondusif serta berkualiti.

Tegasnya, BPA kekal komited untuk memastikan setiap peruntukan yang disalurkan bukan sekadar dibelanjakan, tetapi memberi manfaat yang berterusan dan nilai tambah kepada pendidikan negara.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada seluruh warga JPN Selangor, PPD serta semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama padu dalam menjayakan sesi libat urus ini,” ujarnya. -MalaysiaMADANI