Berita

Isu kesesakan HSAH, KKM laksana intervensi segera dan pelan jangka panjang

Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan khas hampir RM2.6 juta bagi tujuan penambahbaikan fasiliti serta perolehan aset perubatan dan bukan perubatan untuk Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Menteri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan proaktif itu sebagai langkah pemerkasaan kapasiti hospital terbabit bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Beliau berkata, realiti kesesakan kritikal di Jabatan Kecemasan akibat limpahan pesakit luar, dengan purata 50 hingga 70 pesakit terpaksa menunggu lama setiap hari untuk kemasukan ke wad. 

“Menyedari beban ini, KKM telah menggerakkan langkah segera melalui inisiatif After Hours Clinic yang telah mula beroperasi sejak 17 Ogos lalu. 

“Pendekatan ini membolehkan Klinik Pakar dan Klinik Kesihatan menyerap kedatangan pesakit Zon Hijau di luar waktu pejabat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Untuk kapasiti jangka sederhana, Dzulkefly mengarahkan agar cadangan menaiktaraf fasiliti di tiga bangunan wad hospital lama Sungai Petani (HSP) disegerakan. 

Jelas Dzulkefly, perancangan strategik bernilai lebih RM11 juta itu merangkumi naik taraf tiga bangunan wad berserta penyediaan fasiliti sokongan. 

“Langkah ini disasarkan untuk memberi ruang tambahan sebanyak 120 katil baharu, sekali gus mampu meredakan kesesakan wad di HSAH secara signifikan,” ujarnya.

Tambahnya, bagi pelan penyelesaian jangka panjang, kerajaan telah meluluskan kerja-kerja awalan bernilai RM650,000 untuk cadangan pembinaan blok tambahan baharu di HSAH. 

Beliau berkata, apabila projek itu direalisasikan kelak, ia bakal menawarkan pertambahan 408 katil, tujuh dewan bedah serba moden serta kemudahan tempat letak kereta bertingkat bagi keselesaan optimum pesakit dan waris.

“Segala intervensi ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mencari penyelesaian berstruktur. 

“Kita bukan sahaja merawat pesakit, tetapi kita juga komited ‘merawat’ sistem penjagaan kesihatan agar kekal berdaya tahan dan responsif terhadap keperluan rakyat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI