Berita

Isu pencerobohan tanah dibangkitkan rakyat perlu diambil tindakan segera -PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengingatkan semua pihak terutama penjawat awam untuk mempraktikkan amalan tatakelola baik semasa bertugas demi memastikan negara terus berkembang maju.

Amanat penting itu ditegaskan Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-83.

Beliau berkata, amalan tatakelola yang baik perlu terus dipertahankan dan sebarang bentuk pencerobohan tanah tanpa kebenaran tidak boleh dipandang ringan.

Ini kerana kata beliau, tindakan tidak bertanggungjawab seperti pencerobohan boleh menjejaskan perancangan negara serta kepentingan rakyat.

“Justeru, aspek penguatkuasaan perlu terus diperkukuh, manakala sebarang isu berkaitan yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) perlu ditangani dengan segera.

“Ini supaya maklumat yang tepat dan telus dapat disampaikan secara menyeluruh dan berkesan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Menurut beliau, ketika mana berhadapan kesan perubahan iklim, urus tadbir tanah tidak boleh lagi hanya tertumpu kepada keuntungan ekonomi atau pembangunan fizikal semata-mata.

Jelas beliau, pengurusan tanah mesti dilaksanakan secara berhemah dan terancang bagi meminimumkan risiko terhadap kelestarian alam sekitar. 

“Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap inisiatif pengurusan tanah dilaksanakan secara bertanggungjawab demi manfaat rakyat terbanyak,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI