Kementerian Dalam Negeri (KDN) memainkan peranan penting dalam memastikan setiap naskhah Al-Quran yang dicetak dan diterbitkan di Malaysia mematuhi garis panduan serta piawaian ditetapkan.
KDN berkata, perkara itu sangat penting bagi menjamin ketepatan dan kesahihan teks kitab suci tersebut.
Katanya, usaha tersebut dilaksanakan melalui program Jom Exchange Al-Quran (JEQ) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menggunakan naskhah Al-Quran yang diperakui serta memenuhi ketetapan pihak berkuasa.
“Inisiatif ini turut diperluaskan menerusi sesi temu bual khas dalam rancangan Apa Khabar Malaysia di BERNAMA TV bersama Setiausaha Bahagian, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Tuan Ismainur Hadi Amat Bakeron,” kata KDN menerusi laman media sosialnya.
Menurutnya, pelaksanaan JEQ mencerminkan komitmen berterusan KDN dalam memperkukuh kesedaran masyarakat, memastikan pematuhan terhadap ketetapan yang berkuat kuasa serta memelihara kesucian dan ketepatan teks Al-Quran di Malaysia. -MalaysiaMADANI
