Kerajaan MADANI mengambil maklum berhubung keresahan peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan terhadap persaingan membabitkan perniagaan platform e-dagang dari luar negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut telah dibangkitkan secara langsung dalam perbincangan dua hala bersama kepimpinan tertinggi China serta dalam sesi pertemuan perniagaan.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI sedang memuktamadkan langkah-langkah susulan bagi menangani isu tersebut secara menyeluruh, selain perkara itu akan menjadi antara keutamaan dalam Mesyuarat Kabinet yang akan datang.
“Saya menyambut baik komitmen Premier Li Qiang yang menyatakan persetujuan untuk mengenal pasti kaedah terbaik demi memastikan PMKS kita dilindungi dan tidak terus terjejas.
“Pendirian ini turut disokong dengan jaminan daripada syarikat-syarikat gergasi berkenaan, termasuk pihak Alibaba,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Dalam pada itu kata Perdana Menteri, satu lagi titik kemajuan bermakna adalah persetujuan Kerajaan China terhadap cadangan Malaysia untuk menyambung laluan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga ke Rantau Panjang.
Menurut beliau, ketersambungan itu bakal memberi impak limpahan ekonomi yang signifikan, terutamanya dalam memakmurkan kawasan luar bandar di Kelantan.
Mengulas mengenai lawatan kerja di China, beliau berkata, Misi Diplomasi MADANI di Shanghai dan Hangzhou kali ini telah berhasil merekodkan potensi pelaburan bernilai RM28.6 bilion.
Kata beliau, ia membabitkan sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, pengarusutamaan kecerdasan buatan (AI), robotik, kenderaan elektrik (EV), bahan bateri, optik termaju, bioteknologi serta pembuatan termaju.
Di samping itu menurut beliau, potensi eksport ke China turut dicatat sebanyak RM8.2 bilion bagi tempoh satu hingga tiga tahun.
Dalam siri lawatan itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia diberi pendedahan kepada penerokaan teknologi baharu serta aplikasi AI yang wajar dipelajari dan timba kekuatannya daripada kemajuan pesat China.
“Mengakhiri siri lawatan ini, saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh urus setia agensi kerajaan merangkumi Malawakil di China, Wisma Putra, MITI, MATRADE, MIDA serta pelbagai pihak yang telah menggembleng tenaga menjayakan lawatan kerja ini.
“Alhamdulillah, kejayaan lawatan ini telah memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan Malaysia-China serta mempelbagaikan kerjasama yang akan melimpahkan lebih banyak manfaat dan kemakmuran buat rakyat kedua-dua negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
