Berita

KSU KKM turun padang di Sarawak, jumpa petugas di lapangan secara bersemuka

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuka peluang kepada warga kerja di Sarawak menyatakan sebarang pandangan atau permasalahan kepada barisan kepimpinan tertinggi secara terbuka.

Satu Sesi Ramah Mesra dan Dialog bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad telah berlangsung dalam suasana penuh interaktif di Pusat Jantung Sarawak.

KKM berkata, penganjuran majlis itu menjadi platform komunikasi dua hala yang amat bermakna dalam mengukuhkan silaturahim serta menyatukan tekad barisan kepimpinan kementerian dan wargakerja kesihatan di negeri Sarawak untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat.

“Datuk Seri KSU merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas dedikasi, pengorbanan serta pengabdian berterusan seluruh wargakerja kesihatan di lapangan. 

“Beliau menegaskan bahawa pihak pengurusan tertinggi KKM sentiasa komited untuk memperkasakan pengurusan sumber manusia menerusi pelantikan pegawai perubatan baharu, pengisian pejawatan secara strategik di pelbagai fasiliti serta penambahbaikan perancangan perjawatan jangka panjang bagi memenuhi keperluan perkhidmatan di Sarawak,” kata KKM menerusi media sosialnya. 

Bagi menyokong perkhidmatan yang berkesan, menurutnya, KKM turut memantau rapi pelaksanaan projek-projek pembangunan infrastruktur kesihatan di seluruh Sarawak, termasuk usaha menaik taraf klinik-klinik kesihatan dan kuarters kediaman petugas di kawasan luar bandar demi memastikan kebajikan wargakerja sentiasa terpelihara. 

Di samping itu katanya, peruntukan besar terus disalurkan bagi perolehan dan pemodenan peralatan perubatan canggih merangkumi bidang kardiologi, radiologi serta rawatan kepakaran khas.

“Bagi memastikan perkhidmatan kekal cekap dan berdaya tahan, pihak pengurusan kementerian dan kepimpinan di peringkat negeri sentiasa bekerjasama rapat untuk meningkatkan kecekapan proses perolehan serta mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan secara berhemat,” ujarnya. 

Selain itu katanya, KKM turut memperluaskan pendekatan penyewaan peralatan berteknologi tinggi dan memperkemas model perkhidmatan sokongan hospital agar kemudahan di setiap fasiliti sentiasa berada pada tahap terbaik demi keselesaan dan keselamatan pesakit.

Tambahnya lagi, sesi majlis diteruskan dengan sesi dialog dua hala yang memberikan ruang khusus kepada para pakar dan pegawai perubatan untuk menyuarakan isu serta cadangan penambahbaikan secara terus kepada kepimpinan tertinggi. 

Menurutnya, antara perkara konstruktif yang dibincangkan termasuklah kemudahan dan kebajikan pegawai perubatan, pemodenan peralatan kepakaran di hospital, penempatan pakar di fasiliti daerah serta usaha mengekalkan bakat-bakat berpengalaman di Sarawak.

Jelasnya, KSU menyambut baik setiap maklum balas yang diutarakan dan memberi jaminan bahawa pihak kementerian sentiasa bersedia menambah baik dasar semasa serta memberikan sokongan padu terhadap tugas murni para doktor dan petugas kesihatan di lapangan.  -MalaysiaMADANI