Berita

Malaysia kecam tindakan biadab Israel usir rakyat Palestin secara paksa dari Semenanjung Gaza

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sekeras-kerasnya usaha rejim Zionis Israel mahu mengusir rakyat Palestin secara paksa dari Semenanjung Gaza. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, Malaysia turut mengutuk pencerobohan pendatang haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. 

Beliau berkata, kezaliman dan perampasan tanah secara sistematik seumpama itu merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa yang wajar ditolak tanpa sebarang kompromi.

“Sikap berdiam diri sesetengah masyarakat antarabangsa adalah suatu hipokrasi terhadap keadilan,” tegas beliau menerusi satu kenyataan akhbar pada Jumaat. 

Justeru itu menurut beliau, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) didesak mengambil tindakan tegas untuk menghentikan kebiadaban oleh rejim Israel itu.

Selanjutnya kata beliau, UNSC perlu membawa penjenayah perang ke muka pengadilan dan berusaha melindungi nyawa warga Palestin.

Tegas beliau, JPM (Hal Ehwal Agama) kekal utuh menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk kekal di tanah air mereka serta menuntut penubuhan negara Palestin yang merdeka. 

“Semoga Allah SWT mengurniakan kemenangan dan kebebasan hakiki buat Palestin,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI