Jasa juruterbang Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan sentiasa diingati.
Allahyarham bersama empat petugas perubatan lain terlibat dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, Miri, Sarawak.
Ekoran kejadian menyayat hati itu, Perdana Menteri telah menghubungi ayah Allahyarham, Bee Sham Ahmad bagi menyampaikan salam takziah kepada seluruh keluarga.
“Teruji dengan kehilangan amat berat, lebih-lebih lagi buat keluarga dan anak-anak yang jauh masih kecil.
“Saya titipkan doa agar Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada keluarga ini untuk terus melangkah menghadapi hari-hari mendatang,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Kenangan sewaktu Allahyarham bertanggungjawab menerbangkan Perdana Menteri ketika kempen PRU15 lalu, ia menimbulkan rasa terharu yang memberi kesan mendalam kepada pemimpin nombor satu negara itu.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga Allahyarham serta keluarga mangsa lain didukung dan diberi pembelaaan sewajarnya.
“Justeru, ingatan dan doa saya, Azizah serta keluarga sentiasa bersama seluruh keluarga dan waris mangsa.
“Semoga Allah SWT mengasihani mereka, mengampun segala dosa mereka, melimpahkan rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan para syuhada,” ujar beliau.
Perdana Menteri menegaskan, seluruh rakyat Malaysia meratapi pengorbanan dan limpah bakti mereka kepada negara. -MalaysiaMADANI
