Berita

123 sekolah di Perak terima penyerahan Surat Prakarsa, tingkat mutu kemudahan sedia ada

Pemerkasaan kemudahan sekolah bagi tujuan keselesaan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran giat dilaksanakan di peringkat negeri Perak membabitkan sekolah rendah dan menengah. 

Bagi tujuan tersebut, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak telah menganjurkan Majlis Penyerahan Surat Prakarsa Peningkatan Mutu Sekolah Bawah Reformasi Sekolah, sempena pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035. 

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengoperasian Pendidikan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan, Salmah Abd Murad. 

Beliau mewakili Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan, Mohd Hanafi Samad.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar dan pegawai daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pada majlis tersebut, JPN Perak berkata, sebanyak 123 buah sekolah terpilih di seluruh negeri Perak menerima Surat Prakarsa tersebut, melibatkan 63 buah sekolah rendah dan 60 buah sekolah menengah.

“Semoga pelaksanaan prakarsa ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh budaya penambahbaikan secara berterusan.

“Selain itu, ia diharap dapat meningkatkan kualiti pendidikan selaras dengan aspirasi RPM 2026–2035,” ujarnya. -MalaysiaMADANI