Kerajaan MADANI mengambil pendekatan tegas dan bertanggungjawab dengan memastikan semua proses pengesahan status pelarian dilaksanakan secara menyeluruh.
Proses pengeluaran Dokumen Pengenalan Pelarian (DPP) kepada kumpulan pelarian itu akan memastikan mereka yang diperiksa mempunyai identiti sah, latar belakang bersih dan status pelarian tulen.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan tersebut dilaksanakan melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Setiap individu akan melalui semakan identiti, rekod perjalanan, status imigresen, latar belakang keselamatan serta pengesahan status pelarian sebelum sebarang dokumen dikeluarkan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Tegas beliau, pendekatan tegas tersebut bukan sekadar urusan pentadbiran, sebaliknya bagi memastikan kedaulatan negara terus terjamin dan tidak dcabuli oleh mana-mana pihak.
“Ia adalah komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan negara, integriti sistem imigresen dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
