Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ketua Parti Buruh, Andy Burnham atas pelantikan sebagai Perdana Menteri United Kingdom.
Menerusi laman media sosialnya, Perdana Menteri menyatakan penantian kerjasama erat bersama Burnham untuk membawa perkongsian strategik Malaysia-United Kingdom ke tahap yang lebih tinggi, termasuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Digital serta memperkukuh kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan, pendigitalan, tenaga bersih dan pertahanan.
“Saya turut menyambut baik kenyataan terbaharu Burnham mengenai maklum balas awal Britain terhadap penderitaan yang dialami rakyat Gaza adalah tidak memadai, seterusnya menggesa supaya tekanan yang lebih besar dikenakan terhadap rejim Israel,” kata Perdana Menteri.
Menurut Perdana Menteri, ketika ramai pihak di Barat masih bergelut untuk menunjukkan kejelasan pendirian moral yang dituntut oleh krisis tersebut, pengiktirafan yang dinyatakan Burnham itu merupakan satu langkah permulaan yang penting dan amat dialu-alukan.
Kata beliau, tahun hadapan menandakan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara Malaysia dan United Kingdom.
Jelas beliau, ia merupakan peluang yang amat bermakna untuk memperbaharui komitmen terhadap kerjasama yang telah sekian lama terjalin serta bersama-sama membentuk lembaran baharu dalam hubungan dua hala.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada Keir Starmer atas sumbangan beliau dalam memperkukuh hubungan Malaysia-United Kingdom sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri.
“Saya mendoakan agar beliau terus mencapai kejayaan dalam segala usaha yang akan datang,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
