Kebajikan dan keperluan rakyat sentiasa didahulukan kerajaan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat menerima manfaat daripada apa yang telah diperuntukkan menerusi Gagasan Malaysia MADANI.
Menghadiri Program MADANI Kita di Perak, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program tersebut merupakan sebuah ikhtiar memastikan perkhidmatan kerajaan benar-benar turun ke lapangan, mendekati rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka secara langsung.
Beliau menegaskan bahawa amanah memimpin bukan sekadar membangunkan gedung dan prasarana, tetapi memastikan setiap keluarga dapat hidup dengan lebih sempurna.
“Apabila turun bertemu rakyat, saya mendengar sendiri kegusaran seorang ibu yang bergelut dengan kos sara hidup, seorang bapa yang berhempas pulas mencari rezeki serta warga emas yang hanya mengharapkan sedikit kelegaan untuk meneruskan kehidupan.
“Suara merekalah yang sentiasa menjadi pedoman dalam setiap keputusan yang kita ambil,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Menyedari hakikat itu, beliau berkata, Kerajaan MADANI akan terus memperluas pelbagai ikhtiar seperti Jualan Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA bagi membantu meringankan beban rakyat.
Menurut beliau, bantuan yang disediakan kerajaan tersebut mungkin bagi sesetengah pihak melihat ia satu sumbangan kecil.
Namun begitu tegas beliau, bagi keluarga yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup, nilainya amat besar.
“Insya-Allah, menjelang Belanjawan 2027, usaha meningkatkan taraf hidup rakyat akan terus menjadi keutamaan,” ujar beliau.
Perdana Menteri berkata, selagi kemampuan kewangan negara mengizinkan, kerajaan akan terus menambah baik bantuan, memperkukuh jaringan perlindungan sosial serta memastikan kemakmuran negara benar-benar dapat dirasai oleh seluruh rakyat. -MalaysiaMADANI
