Berita

Bangi Square 2 ‘full house’, TPM Ahmad Zahid meriahkan Final World Cup bersama peminat bola

Lebih 7,000 peminat bola sepak hadir dan menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2026 bersama Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangi Square 2, Selangor pada Isnin.

Program Final World Cup 2026 bersama Presiden UMNO yang bermula seawal jam 9 malam Ahad menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan buskers dan artis jemputan, trivia bola serta bicara bola sepak bersama pengacara selebriti, Hafizal Hamad.

Antara pemain bola sepak negara yang hadir memeriahkan sesi Borak Bola Bersama Lagenda adalah Datuk Zainal Abidin Hassan, Zaquan Adha dan Farizal Marlias.

Selain itu, orang ramai juga disajikan dengan nyanyian daripada artis ternama tempatan seperti Dato Hattan, Hazama dan Marsha Milan Londoh.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran personaliti dan pempengaruh terkenal seperti Babah Naden, Ayam Kahau, Along Cham serta Angah Raja Lawak.

Sementara itu, pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik menanti orang ramai yang hadir, termasuk hadiah perdana berupa sebuah motosikal Vespa Moca 110.

Pengunjung juga menikmati minuman percuma daripada syarikat kopi tempatan iaitu Richiamo Coffee.

Program diakhiri dengan Semarak Subuh, solat berjemaah bersama Timbalan Perdana Menteri di Surau Al-Hamidiah Kajang sebagai pengisian yang menyatukan semangat kesukanan, kebersamaan dan nilai kerohanian.

Selain itu turut diadakan sesi tausiah atau ceramah pendek bertajuk ‘Taat Allah dan Rasul’ yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Razak Mustapha Kamal.

Terdahulu dalam program Final World Cup 2026, Ahmad Zahid menyampaikan hasrat negara untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia pada masa akan datang.

Bukan sahaja menjadi tuan rumah, beliau mahu menyaksikan Malaysia layak beraksi sebagai wakil Asia Tenggara dalam kejohanan berprestij tersebut.

“Insya Allah, suatu hari nanti kita bercita-cita untuk menjadikan Malaysia tuan rumah Piala Dunia,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI