Kepimpinan anak muda yang cekal, amanah dan tidak mudah mengalah dalam menghadapi ujian sangat diperlukan bagi memimpin negara untuk terus mengorak langkah bersaing di persada dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, asas kepimpinan bermula dengan sikap untuk tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian sendiri.
Beliau berkata, semangat ‘itqan fil ’amal’ iaitu menyempurnakan setiap amanah dan pekerjaan sebaik mungkin, sambil terus memperbaiki diri dalam ilmu, akhlak, ibadah, pendekatan mengajar dan mutu kerja.
“Seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi menjadi teladan yang sentiasa bersedia belajar, menerima perubahan dan meningkatkan kualiti diri,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu Perdana Menteri meluangkan masa menghadiri Program Temu Anwar Bersama Pelajar dan Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik di Bandar Enstek, Selangor pada Jumaat.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Perdana Menteri berkata, dalam dunia yang berkembang pesat dengan kemajuan digital, kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga, guru serta bakal pemimpin perlu berani berinovasi, menguasai kemahiran baharu dan menyesuaikan pedagogi dengan tuntutan semasa.
Menurut beliau, generasi muda memiliki potensi besar untuk memimpin perubahan, namun potensi itu hanya akan dapat direalisasikan melalui penguasaan ilmu dan kemahiran, kerjasama erat dengan industri serta semangat yang tidak pernah luntur untuk terus mengejar kecemerlangan. -MalaysiaMADANI
