Berita

Kerajaan sedia dua kuarters untuk petugas TVET di Kampus Labuan

Warga kerja Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Labuan menerima ‘durian runtuh’ apabila kerajaan menyediakan dua blok kuarters yang mempunyai kemudahan moden dan selesa untuk diduduki.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur TVET diterjemahkan menerusi majlis Penyerahan Kuarters ADTEC JTM Kampus Labuan, sekali gus meningkatkan kebajikan warga kerja serta menyokong penyampaian latihan kemahiran yang berkualiti.

Menurutnya, projek perumahan melibatkan dua blok kuarters Kelas F dan Kelas G itu merangkumi 32 unit kediaman.

“Ia membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam menyediakan kemudahan yang moden, selesa dan kondusif bagi memenuhi keperluan penempatan kakitangan serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih produktif,” kata KESUMA menerusi media sosialnya.

Katanya, kemudahan tersebut diharap dapat dimanfaatkan dan dipelihara sebaiknya sebagai aset kerajaan yang bernilai, selain menjadi pemangkin kepada kecemerlangan ADTEC JTM Kampus Labuan dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan memperkukuh agenda pemerkasaan TVET negara.

Majlis penyerahan kuarters itu telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof. 

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Datuk Rospiagos Taha serta Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kewangan dan Sumber Manusia KESUMA, Datuk Ahmad Firdaus Baharuddin. -MalaysiaMADANI