Berita

Kebajikan anggota diperkasa, keselamatan bangsa Johor terpelihara

Kerajaan MADANI kekal komited memastikan setiap Kerajaan Negeri menerima sokongan yang diperlukan berdasarkan keperluan pembangunan serta kesejahteraan rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, negeri Johor sendiri menikmati peningkatan peruntukan pembangunan dan pengurusan kepada kira-kira RM14.6 bilion, berbanding RM10.2 bilion sebelum ini.

Bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN), beliau berkata, peruntukan lebih RM429 juta telah diberikan bagi tempoh 2023 hingga 2026 bagi memperkukuh kebajikan anggota serta meningkatkan keupayaan operasi badan penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Penjara Malaysia di negeri Johor.

“Menjaga kebajikan anggota bukan sekadar menyediakan kemudahan yang lebih baik. Ia adalah pelaburan bagi memastikan mereka dapat melaksanakan amanah dengan lebih cekap, selamat dan berkesan demi menjamin keselamatan bangsa Johor,” ujar beliau menerusi laman media sosialnya.

Kata beliau, kebajikan anggota penguat kuasa akan terus diberi perhatian seperti mempunyai tempat bertugas yang lebih kondusif, kuarters yang lebih selesa dan kemudahan operasi yang lebih moden.

Jelas beliau, manfaat daripada keprihatinan itu akan turut memberi limpahan kepada masyarakat umum apabila penyampaian perkhidmatan anggota keselamatan yang lebih baik serta persekitaran lebih aman dan sejahtera.

“Insya-Allah, KDN akan terus memastikan setiap peruntukan yang diamanahkan dimanfaatkan sebaiknya agar kebajikan anggota sentiasa terpelihara, sekali gus memperkukuh keselamatan bangsa Johor dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI