Agenda pemerkasaan Bumiputera kekal menjadi keutamaan Kerajaan MADANI dan pelaksanaannya berpaksikan tatakelola baik serta kebertanggungjawaban bagi membangunkan usahawan berjaya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agenda Bumiputera harus diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan tidak boleh lagi sekadar berakhir dengan seminar, wacana atau resolusi semata-mata.
Beliau berkata, sudah tiba masanya semua pihak beralih daripada sebuah retorik kepada pelaksanaan dan daripada janji kepada pencapaian, berteraskan tatakelola yang baik dan kebertanggungjawaban.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkasa usahawan yang berusaha membina keupayaan dan berani bersaing.
“Tetapi saya tegaskan, tidak ada ruang untuk ketirisan, salah guna dana, rasuah mahupun budaya menyakau yang mengkhianati amanah rakyat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu Perdana Menteri merasmikan SParK Forum Niaga Bazar 2026 (SPaRK 2026) anjuran Perbadanan Ushawan Nasional Bhd (PUNB) di Putrajaya.
Kata beliau, penganjuran SParK 2026 merupakan satu lagi usaha berterusan agensi kerajaan dalam memastikan usahawan dibela dan diberi peluang untuk maju.
Dalam masa sama menurut beliau, program seumpama itu mampu melahirkan lebih banyak syarikat Bumiputera yang mampu berkembang sebagai juara ekonomi negara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut melahirkan rasa gembira dapat menjayakan siri program di Johor termasuk menyantuni anak muda daripada pelbagai lapisan masyarakat di Kulai, seterusnya berkongsi harapan Kerajaan MADANI untuk membina masa depan negeri menjadi lebih maju dan berdaya saing.
Beliau berkata, dengan kepimpinan yang cerdik dalam memahami aspirasi belia serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, ia mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan, menarik pelaburan, memperkasa pendidikan dan keusahawanan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap dasar dan ikhtiar yang dilaksanakan memberi manfaat kepada seluruh rakyat, tanpa ada yang tercicir,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
