Kerajaan sentiasa memastikan setiap projek rakyat dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa diberikan, seterusnya memberi pulangan dan manfaat besar kepada masyarakat setempat umumnya.
Setiap projek yang dibangunkan akan dipantau perkembangannya dari semasa ke semasa, malah perlu dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan.
Bagi tujuan tersebut, Sekretariat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) telah mengadakan lawatan pemantauan ke Gerai Astaka Taman Tun Sardon dan Pusat NADI Seri Delima di Gelugor, Pulau Pinang pada Khamis.
“Lawatan dimulakan dengan meninjau perkembangan semasa projek di Gerai Astaka Taman Tun Sardon, susulan lawatan terdahulu yang telah diadakan pada tahun 2025,” kata STAR menerusi laman media sosial Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Katanya lagi, lawatan diteruskan ke Pusat NADI Seri Delima bagi melihat fasiliti serta kemudahan yang disediakan untuk manfaat komuniti setempat.
Menurutnya, lawatan pemantauan tersebut bertujuan menilai kemajuan pelaksanaan di lapangan, mengenal pasti keperluan penambahbaikan serta memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan berkesan.
Tambahnya, perkara tersebut merupakan proses penting untuk dikawal selia demi memperkukuh penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat. -MalaysiaMADANI
