Kerajaan MADANI terus memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara menerusi pelancaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) Struktur Baharu yang menawarkan pilihan tempoh sah laku sehingga 10 tahun.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, pelaksanaan PMA baharu itu selaras dengan perkembangan teknologi keselamatan global dan keperluan rakyat pada masa kini.
Katanya, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen KDN dalam memastikan pasport Malaysia kekal sebagai antara dokumen perjalanan yang paling dipercayai di dunia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengenalan PMA struktur baharu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara.
“Ia memudahkan urusan rakyat serta memastikan pasport Malaysia terus diiktiraf sebagai antara yang terbaik di peringkat antarabangsa,” kata beliau menerusi laman media sosial KDN.
KDN berkata, antara penambahbaikan utama PMA struktur baharu adalah tempoh sah laku sehingga 10 tahun bagi warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan berkuat kuasa bermula 1 Julai 2026.
Menurutnya, terdapat 94 ciri keselamatan baharu, hampir dua kali ganda berbanding 49 ciri sebelum ini dengan merangkumi elemen visual, tersembunyi dan forensik bagi meningkatkan perlindungan daripada pemalsuan.
Selain itu katanya, ia mematuhi piawaian International Civil Aviation Organization (ICAO), sekali gus memastikan pasport Malaysia terus diiktiraf dan diyakini di peringkat antarabangsa.
Tambahnya, PMA baharu itu dilaksanakan secara berperingkat di 71 buah pejabat pasport seluruh negara dengan keupayaan mencetak sehingga 60 pasport dalam tempoh sejam dan menyokong pengeluaran purata 160,000 pasport setiap bulan.
“Identiti baharu pasport Malaysia ini menampilkan rama-rama Rajah Brooke’s Birdwing sebagai simbol biodiversiti dan khazanah alam semula jadi negara,” ujarnya.
KDN berkata, orang ramai yang masih memiliki pasport yang sah adalah tidak perlu tergesa-gesa membuat pertukaran kerana pasport sedia ada masih boleh digunakan sehingga menghampiri tempoh tamat sah laku. -MalaysiaMADANI
