Berita

Pastikan hala tuju pendidikan negara penuhi tuntutan masa depan -PM

Agenda memperkasa bidang pendidikan negara terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI dengan memastikan pelajar mampu memenuhi tuntutan pekerjaan pada masa depan. 

Merealisasikan perkara tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 bagi meneliti hala tuju pendidikan negara merangkumi pendidikan sekolah dan pengajian tinggi.

Beliau berkata, perbincangan tertumpu kepada usaha meningkatkan mutu pendidikan di peringkat daerah, memperkasa agenda pendidikan Bumiputera serta membina hala tuju bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Kata beliau, keperluan perkara tersebut sangat penting demi memastikan anak muda dapat memenuhi keperluan masa hadapan negara.

“Saya menegaskan bahawa Majlis Pendidikan Negara diwujudkan bukan sekadar untuk membuat penyesuaian, tetapi memacu perubahan yang berani dan bermakna agar sistem pendidikan kita kekal relevan dengan tuntutan zaman.

“Ini termasuk penambahbaikan kandungan dan kurikulum, di samping memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tanpa mengabaikan nilai, budaya, bahasa kebangsaan dan akhlak yang menjadi teras Malaysia MADANI,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Menurut beliau, pendidikan negara perlu dinilai secara objektif, berpandukan pandangan serta kepakaran pelbagai pihak, agar setiap langkah yang diambil benar-benar mempersiapkan generasi masa hadapan.

Tegas beliau, budaya berpuas hati dengan sistem sedia ada tidak boleh menghalang kemajuan dan yang lebih penting ialah kesediaan untuk berubah, berani melakukan pembaharuan dan terus mengangkat mutu pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi. -MalaysiaMADANI