Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor berjaya menumpaskan satu sindiket terlibat dalam aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan dan penggunaan cap keselamatan palsu menerusi satu operasi serkap yang dijalankan pada Sabtu.
JIM Negeri Selangor berkata, hasil operasi tersebut, seorang suspek wanita warganegara India yang disyaki menjadi dalang utama sindiket telah ditahan.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati suspek merupakan pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (Spouse Visa) kepada seorang warganegara Malaysia.
“Sindiket ini dipercayai telah menjalankan kegiatan ini selama kira-kira tiga tiga tahun. Modus operandi sindiket ini adalah menyasarkan warga asing dari luar negara sebagai pelanggan.
“Pelanggan akan dibawa masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum ditempatkan di sebuah rumah transit di sekitar Klang, Selangor selama tempoh satu hingga dua minggu,” katanya dalam satu kenyataan.
Sepanjang tempoh tersebut, katanya, suspek menyediakan pelbagai dokumen palsu termasuk rekod perjalanan bagi menggambarkan pelanggan mempunyai sejarah perjalanan yang kukuh.
Selain itu menurutnya, sindiket turut menghasilkan rekod pekerjaan palsu di Malaysia dengan menyediakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang palsu.
Dalam operasi tersebut, JIM Negeri Selangor telah menahan seramai 12 orang warganegara asing antaranya dari negara India, Bangladesh dan Sri Lanka.
Jelasnya, kesemua yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen bagi tujuan siasatan lanjut.
“Pihak jabatan sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti rangkaian sindiket ini, termasuk kemungkinan penglibatan individu lain di dalam dan luar negara,” ujarnya.
Jabatan Imigresen Malaysia memberi amaran tegas bahawa sebarang aktiviti pemalsuan dokumen, penyalahgunaan kemudahan imigresen serta cubaan mendapatkan visa menggunakan dokumen palsu merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang negara.
Tegasnya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan keselamatan negara serta memelihara integriti sistem imigresen Malaysia. -MalaysiaMADANI
