Berita

Gempa bumi di Venezuela, Malaysia turut bersedih dan ucap takziah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakam ucapan takziah kepada rakyat Venezuela susulan kejadian gempa bumi yang melanda bahagian utara negara itu. 

Beliau berkata, gempa tersebut merupakan antara yang paling kuat melanda Venezuela dalam tempoh lebih satu abad dan jumlah sebenar mangsa yang terjejas masih belum dapat dipastikan. 

“Ingatan dan doa saya bersama setiap keluarga yang sedang berduka. Doa juga buat mereka yang masih menantikan khabar mengenai insan tersayang yang terperangkap di bawah runtuhan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia menaruh keyakinan penuh terhadap keberanian pasukan penyelamat Venezuela yang sedang bertungkus-lumus berlumba dengan masa dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa pada hari-hari mendatang. 

“Kami percaya bahawa bantuan yang sedang digerakkan oleh masyarakat antarabangsa akan dapat memberikan sedikit kelegaan dan sokongan kepada mereka yang paling memerlukan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI