Berita

SPRM guna persembahan wayang kulit sebar mesej antirasuah kepada mahasiswa

Menyebar luas mesej antirasuah kepada golongan mahasiswa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan program unik tayangan ‘Wayang Rasuah: Bila Bayang Menjadi Gelap’.

SPRM berkata, seramai 200 peserta menghadiri program hasil usahasama SPRM Perlis bersama Unit Integriti UniMAP, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UniMAP dan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) UniMAP yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, UniMAP.

Menerusi program itu katanya, satu persembahan wayang kulit dikendalikan oleh Kumpulan Wayang Kulit Warisan Enam Saudara bertajuk ‘Bila Bayang Menjadi Gelap’ diadakan bagi mengupas kesalahan-kesalahan kritikal di bawah Akta SPRM 2009, seperti kesalahan meminta dan memberi rasuah, salah guna kuasa serta tuntutan palsu melalui watak-watak bayang yang ikonik. 

“Pendekatan pendidikan yang unik melalui medium wayang kulit ini bukan sahaja menghibur dan melestarikan seni kebudayaan tempatan, malah ianya berjaya meninggalkan impak mendalam kepada peserta mengenai kesan gelap rasuah terhadap individu serta negara,” kata SPRM dalam satu kenyataan. 

Hadir sama di program itu Timbalan Pengarah Operasi SPRM Perlis, Hairul Hafiz Bohari; Timbalan Pengarah I, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP UniMAP), Ts. Dr. Muhammad Hafiz Ab Aziz dan Ketua Unit Integriti Pejabat Penasihat Undang-Undang dan Integriti UniMAP, Ruzalina Ibnu Ruslan.

Menurut SPRM, pendekatan pendidikan yang kreatif dan santai itu dilihat mampu memberi impak tinggi, seterusnya memastikan mesej antirasuah terus relevan dan segar dalam minda generasi muda.

Terdahulu, program dimulakan dengan Taklimat Keep Malaysia Clean (KMC) disampaikan oleh pegawai SPRM Perlis, Mohd Faiq Hussin yang memberi penekanan kepada peranan mahasiswa dalam membudayakan nilai murni, masyarakat murni dan alam sekitar murni. 

Peserta turut berpeluang menyertai Kuiz Kahoot antirasuah yang dijalankan secara interaktif, bertujuan untuk menguji kefahaman mahasiswa mengenai bahaya jenayah rasuah dengan cara yang santai. -MalaysiaMADANI