Berita

Kebajikan rakyat Johor sentiasa dijaga, hubungan erat Persekutuan-Kerajaan Negeri diperkukuh

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di Kuala Lumpur dalam suasana mesra dan harmoni.

Pertemuan tersebut memberi ruang yang baik untuk bertukar pandangan dan membincangkan perkara-perkara terkait kebajikan serta kesejahteraan rakyat, khususnya di negeri Johor Darul Takzim.

Kesempatan itu digunakan untuk membincang perkembangan semasa dan perancangan berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.

“Tunku Mahkota Ismail dan saya juga sepakat untuk terus mengekalkan hubungan yang baik, selain mengukuhkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan yang lebih tinggi kepada Johor, berbanding hasil yang disumbangkan negeri itu kepada kerajaan dalam tempoh tiga tahun lepas.

Beliau berkata, berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, Johor menyumbang kira-kira RM14 bilion hasil kepada Persekutuan bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Bagaimanapun kata beliau, Kerajaan Persekutuan menyalurkan semula RM16 bilion kepada Johor melalui pelbagai projek pembangunan, peruntukan pengurusan dan program berkaitan.

“Berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, hasil Persekutuan yang dikutip dari Johor bagi 2023 hingga 2025 berjumlah RM14 bilion.

“Berapa kita beri balik melalui pelbagai projek, pengurusan dan pembangunan keseluruhannya? Sejumlah RM16 bilion untuk negeri Johor,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. -MalaysiaMADANI