Berita

Malaysia-Bangladesh bincang perkukuh kerjasama dua hala

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawat dari Bangladesh, Tarique Rahman mengadakan pertemuan dan mengetuai delegasi negara masing-masing bagi membincangkan usaha mengukuhkan kerjasama. 

Mesyuarat dua hala yang dijalankan tersebut berlangsung dalam suasana penuh hormat dan perbincangan tertumpu kepada usaha mengukuhkan kerjasama pelbagai bidang.

Perdana Menteri berkata, antara dibincangkan melibatkan aspek perdagangan dan pelaburan, tenaga, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, pendidikan, pembangunan modal insan, pertanian, industri halal serta pengurusan tenaga kerja. 

“Kami juga memberi fokus kepada situasi di Myanmar, termasuk perkembangan berkaitan krisis Rohingya, serta menegaskan kepentingan meneruskan usaha damai melalui penglibatan menyeluruh semua pihak berkepentingan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Beliau juga menzahirkan penghargaan atas komitmen Bangladesh dalam membantu komuniti Rohingya dan Malaysia kekal berpendirian bahawa penyelesaian terbaik adalah menghantar pulang komuniti itu secara selamat ke Myanmar.

Kedua-dua pemimpin itu turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang memerlukan pendekatan berteraskan dialog, keamanan dan saling menghormati.

Perdana Menteri berkata, Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap Bangladesh sebagai rakan penting di Asia Selatan dan yakin masih banyak potensi kerjasama yang boleh diteroka demi kemajuan ekonomi serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

“Saya percaya kesepakatan yang dicapai hari ini akan terus memperkukuh hubungan Malaysia dan Bangladesh serta membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI