Berita, Siaran Media

Belanjawan 2027: KPM jamin peruntukan sekolah tidak berkurang

Menteri Pendidikan memberi jaminan langkah penjimatan kerajaan dalam merangka Belanjawan 2027 tidak sesekali menjejaskan perancangan utama kementerian terutama dalam pengambilan guru baharu serta pembinaan bilik darjah tambahan.

Fadhlina Sidek berkata, langkah penjimatan itu juga tidak akan mengganggu penerima manfaat termasuk program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), yang disifatkan sebagai penting bagi pengambilan nutrisi murid.

“Kita tidak mahu rakyat merasa risau dan gusar kerana walaupun seruan penjimatan itu adalah seruan yang sangat penting dan kritikal ketika ini. 

“Saya ingin beri jaminan ia tidak akan memberikan ataupun mengganggu dalam konteks terkait rapat dengan keutamaan-keutamaan pada peringkat kementerian,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

KPM juga katanya komited dalam memastikan sebarang langkah penjimatan tidak memberikan kesan kepada pelancaran kurikulum baharu pada tahun hadapan, selain kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bayangan bahawa Belanjawan 2027 akan dirangka dengan lebih banyak langkah penjimatan susulan tekanan ekonomi global yang menjejaskan kedudukan fiskal negara, antara lain termasuk melibatkan KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata ketidaktentuan geopolitik dunia, termasuk rantaian ketegangan susulan serangan Amerika Syarikat dan sekutunya Israel ke atas Iran memberikan kesan kepada ekonomi global, sekali gus menuntut perbelanjaan kerajaan yang lebih berhemat. – MalaysiaMADANI