Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan terus memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan negara mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu mendepani cabaran ekonomi global yang dipacu kecerdasan buatan (AI), automasi dan digitalisasi industri kata Menteri Sumber Manusia.
Datuk Seri R Ramanan dalam kenyataan sempena Sambutan Hari TVET Negara 2026 memaklumkan, TVET kini bukan lagi sistem latihan kemahiran semata-mata tetapi menjadi antara agenda strategik negara.
“TVET bukan sekadar sistem latihan kemahiran, tetapi asas kepada ketahanan ekonomi, kekuatan industri dan masa depan daya saing negara.
TVET KESUMA akan terus memperkukuh pembangunan bakat negara melalui latihan berpacukan industri yang disokong oleh penglibatan aktif Badan Peneraju Industri (ILB) dan Future Skills Talent Council (FSTC),”katanya.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata kadar kebolehpasaran graduan institusi latihan di bawah KESUMA mencapai 95.5 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan, dengan 85.1 peratus graduan bekerja dalam bidang berkaitan.
Malah dalam pengambilan UP_TVET Perdana Julai 2026, lebih 20,000 tempat pengajian ditawarkan melibatkan 315 institusi TVET di seluruh negara, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada golongan muda mendapatkan latihan kemahiran berkualiti.
Katanya, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem TVET menerusi rangkaian 33 kampus ADTEC termasuk Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) dan Proton Institute serta kampus satelit di Senai dan Anjung Muadzam.
“Kerjasama strategik dengan syarikat industri termasuk Proton, Petronas, Petros, Malaysia Aviation Group (MAG), Infineon Technologies, Huawei Technologies (Malaysia) dan Micron Memory Malaysia turut memperkukuh kualiti latihan melalui pemindahan teknologi, latihan industri dan peluang kerjaya graduan,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) terus memperkukuh sistem TVET menerusi Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM), penarafan Malaysia TVET Rating (MTR) serta pelaksanaan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) bagi memperluas akses latihan, reskilling dan upskilling. – MalaysiaMADANI
