Berita

Pemergian Chet Singh kehilangan besar negara, PM ucap takziah kepada keluarga mendiang

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang Datuk Seri Chet Singh Karam Singh, tokoh pembangunan perindustrian Pulau Pinang yang meninggal dunia semalam.

Perdana Menteri berkata, sebagai Pengurus Besar pertama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), mendiang memainkan peranan penting dalam merintis pembangunan kawasan perindustrian dan menarik pelaburan antarabangsa.

“Mendiang juga berjaya menjadikan Pulau Pinang sebagai hab industri elektrik dan elektronik (E&E) bertaraf dunia,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Menurut beliau lagi, sumbangan besar mendiang adalah membuka peluang pekerjaan, merancakkan ekonomi serta meletakkan asas penting kepada kemajuan industri negara. 

“Segala jasa dan legasi mendiang dalam pembangunan perindustrian dan ekonomi negara akan terus dikenang,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI