Berita, Siaran Media

Malaysia kekal ekonomi Islam terbaik dunia 2025

Malaysia terus mengekalkan kedudukan sebagai ekonomi Islam terbaik dunia bagi 2025, sekali gus membuktikan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kestabilan politik serta hala tuju pentadbiran Kerajaan MADANI.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan pencapaian berdasarkan laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) Report 2024/2025 itu didorong dasar ekonomi yang jelas, pentadbiran stabil serta komitmen kerajaan dalam memperkukuh keyakinan rakyat dan pelabur terhadap negara.

“Kejayaan Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai ekonomi Islam terbaik dunia membuktikan pendekatan Malaysia MADANI berjaya meletakkan negara di landasan kukuh, progresif dan dihormati di peringkat global.

“ Ini merupakan kejayaan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata pencapaian berkenaan membuktikan dasar serta pendekatan Kerajaan MADANI yang berteraskan kestabilan, tatakelola baik, keyakinan pelabur dan pembangunan inklusif terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Malah,  kedudukan Malaysia di tangga pertama mengatasi beberapa negara Islam utama dunia turut memperlihatkan kekuatan sistem kewangan Islam, industri halal, inovasi serta ekosistem pembangunan negara yang diyakini masyarakat global.

“Kerajaan akan terus memperkukuh agenda pembangunan rakyat termasuk penyediaan perumahan berkualiti, pembangunan bandar mampan dan kesejahteraan komuniti demi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara menyeluruh.

Atas dasar itu katanya, Kerajaan MADANI akan terus bekerja kuat memastikan kemakmuran negara diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi lebih luas serta pembangunan negara yang inklusif dan mampan,” 

Beliau pada masa sama turut menyeru rakyat untuk terus bersama-sama mempertahankan kestabilan, perpaduan dan keyakinan terhadap agenda pembangunan negara demi memastikan Malaysia terus dihormati dan disegani di peringkat antarabangsa. – MalaysiaMADANI