Berita, Siaran Media

Dakwaan kekerasan aktivis GSF: Siasatan telus, menyeluruh perlu dibuat



Malaysia mendesak siasatan menyeluruh, bebas dan telus dilaksanakan segera terhadap dakwaan penyeksaan serta layanan tidak berperikemanusiaan dilakukan tentera Israel terhadap aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 ke Gaza, baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kerajaan MADANI kekal tegas dan tidak akan berkompromi dalam soal melindungi keselamatan, kebajikan serta hak rakyat Malaysia di luar negara selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan nilai kemanusiaan sejagat.

“Kerajaan juga menuntut supaya kebajikan, maruah dan hak perundangan semua aktivis yang ditahan dihormati serta dilindungi sepenuhnya.

“Kita juga menyeru agar usaha diplomatik diteruskan secara konsisten bagi mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan yang boleh menggugat kestabilan dan keselamatan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, pihaknya amat prihatin apabila timbul dakwaan melibatkan layanan fizikal yang kasar, unsur intimidasi serta penafian hak-hak asas terhadap aktivis yang terlibat.

Sebelum ini 428 aktivis kemanusiaan yang menaiki kapal GSF 2.0 termasuk 29 rakyat Malaysia, ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa sebelum dilaporkan dibebaskan pada 21 Mei lalu.

Penahanan itu mendapat kecaman hebat pada peringkat antarabangsa daripada beberapa negara termasuk Turkiye, Itali, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia dan Portugal, serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU).

Sehubungan itu, beliau menjelaskan kerajaan akan terus memantau perkembangan perkara ini secara rapat dan memastikan kepentingan serta keselamatan rakyat Malaysia sentiasa diberikan keutamaan.

Bagaimanapun Saifuddin menggesa usaha diplomatik diteruskan secara konsisten bagi mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan yang boleh menggugat kestabilan dan keselamatan antarabangsa.

“Saya difahamkan pelbagai pihak termasuk organisasi hak asasi manusia dan wakil perundangan kini sedang mengumpulkan testimoni serta bukti berkaitan insiden tersebut,” katanya.- MalaysiMADANI