Berita, Siaran Media

Bekalan minyak negara masih cukup – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan petrol dan diesel negara sehingga kini masih mencukupi meskipun dunia berdepan konflik di Asia Barat.

Katanya hubungan negara dengan beberapa negara termasuk Iran diyakini mampu memastikan laluan bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz berjalan lancar buat masa ini.

“Hubungan baik dengan Iran ini membantu bekalan minyak cukup setakat ini, sampai Julai…

 Insya-Allah, diesel pun cukup walaupun hari itu ada masalah sedikit diesel tiada, naik sedikit harga kerana kita beli daripada luar yang melalui Selat Hormuz. Insurans naik, tambang kapal pun naik,” katanya.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Agihan Perdana Lembu Korban MADANI Parlimen Permatang pauh, Seberang Perai Tengah, hari ini.

Katanya, Kerajaan MADANI kekal komited untuk terus mengekalkan harga minyak RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter.

Bagaimanapun Anwar menjelaskan susulan peningkatan kos diesel, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan termasuk program BUDI MADANI bagi membantu golongan petani, nelayan, pengusaha traktor, bas sekolah dan sektor pengangkutan. – MalaysiaMADANI