Berita

Kerajaan tambah peruntukan perolehan kerja kontraktor kecil Bumiputera sehingga RM4 bilion

Kerajaan mengumumkan kenaikan peruntukan perolehan kerja 2026 bagi kontraktor gred G1 hingga G4 daripada RM2.4 bilion kepada RM4 bilion bagi tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan awal dalam Belanjawan 2026 itu adalah sebahagian ikhtiar Kerajaan MADANI untuk terus memperkasa kontraktor kecil Bumiputera.

Beliau berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu diharap berupaya merancakkan lagi ekonomi setempat demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

“Kontraktor kecil Bumiputera yang menunjukkan prestasi baik akan terus diberikan dokongan dan kepercayaan oleh Kerajaan MADANI.

“Diharap agar mereka mampu berkembang lebih jauh serta menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Menurut beliau, tanpa dasar kerajaan yang jelas, tanpa sokongan yang mempermudah urusan dan membuka ruang peluang yang adil, kontraktor kecil sukar untuk berkembang serta bersaing secara mampan.

Oleh yang demikian kata beliau, syarikat-syarikat kontraktor kecil yang membuktikan prestasi cemerlang akan terus diberi perhatian dan keutamaan oleh Kerajaan MADANI.

“Supaya mereka berpeluang meningkatkan kapasiti, memperkukuh keupayaan serta melonjak ke tahap yang lebih tinggi,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI