Berita

Kerajaan MADANI sedia kemudahan pembiayaan mikro lebih RM5 bilion tahun ini

Permasalahan kewangan dihadapi peniaga kecil dan usahawan mikro sentiasa mendapat perhatian utama Kerajaan MADANI terutama memperluas akses pembiayaan kepada golongan terbabit. 

Untuk itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama ketua-ketua pegawai eksekutif MARA, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, SME Bank, Agrobank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Perdana Menteri berkata, satu perbincangan telah diadakan bagi meneliti usaha memperluas akses pembiayaan kepada peniaga kecil dan usahawan mikro, sekali gus membolehkan kumpulan itu meneruskan perniagaan dengan sempurna.

“Kerajaan MADANI menyediakan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi tahun ini yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro. 

“Kemudahan ini melibatkan pembiayaan sehingga RM100,000 dengan kadar bagi skim tertentu serendah tiga peratus setahun,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Tegas beliau, kemudahan pembiayaan itu tidak akan mencapai matlamat sepenuhnya sekiranya masih ramai peniaga dan penjaja kecil khususnya di pasar, pasar malam dan kawasan tumpuan rakyat tidak menerima manfaat daripada kemudahan disediakan.

Ketika berkunjung ke negeri-negeri, beliau menyatakan mendengar sendiri keluhan peniaga kecil yang tidak mengetahui mengenai bantuan dan kemudahan pembiayaan yang disediakan. 

Jelas beliau, masih terdapat usahawan kecil bergelut sendirian kerana tidak tahu saluran yang boleh membantu mereka mendapatkan modal dan sokongan.

Justeru itu, beliau mengarahkan semua agensi dan institusi pembiayaan mikro untuk memperhebat gerak kerja turun padang dan mendekati seramai mungkin peniaga kecil, penjaja, usahawan mikro serta golongan yang terhimpit akibat kekangan modal. 

Tambah beliau, hebahan dan penyampaian maklumat mesti dilaksanakan secara lebih agresif serta menyeluruh supaya tiada yang tercicir daripada menerima manfaat yang disediakan kerajaan.

“Proses permohonan juga mesti dipermudah, syarat pembiayaan tidak membebankan dan kelulusan diberikan secara adil serta munasabah agar kemudahan ini benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.

“Insya-Allah, semoga kemudahan ini dapat membantu lebih ramai peniaga kecil, penjaja pasar malam, wanita, belia, pekerja gig, lepasan TVET, kontraktor kecil, pesawah padi, golongan asnaf dan usahawan mikro untuk bangkit, berkembang dan membina kehidupan yang lebih baik,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI