Berita

Perkukuh pelaburan, kerjasama strategik pelbagai sektor bersama US-ABC

Malaysia terus menggandakan usaha meneroka peluang baharu dan mengukuhkan sektor pelaburan menerusi kerjasama Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (US-ABC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama masa hadapan itu dibincang semasa menerima kunjungan hormat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif US-ABC, Duta (Bersara) Brian McFeeters.

Beliau berkata, kunjungan McFeeters bersama delegasi majlis adalah sempena Misi Perniagaan Malaysia 2026.

“Pertemuan ini membuka ruang membincangkan potensi memperkukuh pelaburan dan kerjasama strategik merentasi pelbagai sektor antara Amerika Syarikat dan ASEAN khususnya Malaysia,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Tegas beliau, Malaysia akan terus mempertingkat daya saing negara melalui kerangka ekonomi yang jelas seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Selain itu kata beliau, usaha meningkatkan keupayaan ekonomi negara dilaksanakan menerusi Rangka Kerja Insentif Baharu (NIF) yang lebih bersasar dan berasaskan hasil.

Jelas beliau, semua pelaksanaan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kemampanan, daya tahan ekonomi dan penaiktarafan industri negara.

“Ia bagi memastikan pelaburan berkualiti terus memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI