Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) meneliti beberapa cadangan dan inisiatif penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta daya tahan ekonomi negara sepanjang krisis bekalan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara perkara utama dibincangkan adalah cadangan pengurangan kadar sewa premis di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Tegas beliau, perlu lebih banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk melaksanakan inisiatif itu bagi membantu meringankan beban penjaja dan peniaga kecil yang terhimpit dengan peningkatan kos operasi.
“Kerajaan MADANI telah memulakan pengurangan kadar sewa premis penjaja dan peniaga menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA),” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Beliau berkata, pendekatan ihsan seumpama itu wajar dicontohi oleh PBT lain di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perniagaan kecil dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar.
Selain itu kata beliau, mesyuarat turut meneliti pelbagai langkah strategik bagi mendepani ketidaktentuan global dan kesan kenaikan kos sara hidup, termasuk pembangunan Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global serta cadangan penambahbaikan dasar berkaitan bekalan dan harga.
Jelas beliau, mengambil kira impak krisis yang semakin memberi tekanan kepada harga barangan harian, kerajaan telah mengarahkan setiap kementerian untuk menyelaras semula inisiatif, usaha dan bantuan supaya sampai kepada kumpulan sasaran serta memastikan tiada yang tercicir, khususnya golongan miskin dan rentan.
“MTEN akan terus memberi fokus utama kepada usaha menjamin kelangsungan bekalan serta melindungi rakyat, khususnya golongan rentan dan peniaga kecil agar mereka tidak terus terbeban akibat kejutan ekonomi global,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
