Berita

Capstone berimpak tinggi, bantu SPRM depani cabaran transformasi digital

Kumpulan AiQ dianggotai Pegawai Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Md Farhan Minhat telah berjaya membangunkan projek ‘Capstone’ berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital organisasi.

SPRM berkata, projek Capstone tersebut memberi fokus kepada peningkatan kecekapan pengurusan serta penyampaian perkhidmatan awam. 

Katanya, projek itu menerima pengiktirafan sebagai antara projek Capstone berimpak tinggi dan inovatif sepanjang pelaksanaan Program Digital Leadership Excellence (DLE) 2025.

“Pengiktirafan itu adalah hasil pembentangan serta cadangan penyelesaian strategik yang diketengahkan oleh kumpulan tersebut,” kata SPRM dalam satu kenyataan. 

Menurutnya, Md Farhan telah berjaya menamatkan program itu bagi Kohort 3 di bawah Kumpulan AiQ, Progam DLE iaitu inisiatif kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd yang diwujudkan bagi melahirkan pemimpin digital negara dalam sektor kerajaan, industri dan akademia. 

Katanya, program intensif secara hibrid selama empat bulan itu memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan digital, AI, 5G, Internet Kebendaan (IoT), pengkomputeran awan, data raya, teknologi hijau serta keselamatan siber bagi memperkukuh agenda transformasi digital negara.

Menurutnya lagi, bagi Kohort 3, program tersebut telah disertai seramai 66 peserta yang terdiri daripada pemimpin kanan pelbagai sektor di seluruh negara. 

Tambahnya, sepanjang pelaksanaan program, para peserta turut membangunkan projek Capstone berasaskan penyelesaian teknologi dan inovasi digital bagi menangani cabaran serta keperluan semasa negara.

“Penyertaan Md Farhan dalam program tersebut diharap dapat memperkukuh kompetensi serta meningkatkan keupayaan pegawai SPRM dalam mendepani cabaran transformasi digital selaras dengan aspirasi perkhidmatan awam moden,” ujarnya.

Majlis konvokesyen program itu telah dirasmikan oleh Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din yang diadakan di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur. -MalaysiaMADANI