Berita

Terima kasih jururawat, besar jasa kalian kepada negara, rakyat -PM

Pengorbanan dan jasa jururawat dalam memastikan seluruh lapisan masyarakat mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan terbaik tidak boleh dinafikan terutama terhadap kesejahteraan sejagat. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak di awal kelahiran ke dunia, antara yang terawal menyambut dan menjaga segala urusan adalah para jururawat. 

Beliau berkata, jururawat ada tatkala seorang ibu menahan sakit melahirkan anak, ada mendengar tangisan pertama bayi, menjaga ketika diuji sakit dan terus setia berkhidmat menjaga hingga ke penghujung hayat.

“Dalam perjalanan hidup, hampir setiap daripada kita pernah merasai sentuhan ihsan seorang jururawat. 

“Menenangkan pesakit yang menahan derita, memujuk anak kecil yang ketakutan, memberi kekuatan kepada keluarga yang cemas dan dalam banyak keadaan menjadi insan yang paling dekat memahami keadaan pesakit,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Kata beliau, pengalaman serta ketelitian jururawat juga menjadi tonggak penting membantu doktor dalam memberi rawatan terbaik kepada pesakit.

Tegas beliau, jururawat adalah kerjaya mulia yang menuntut pengorbanan, kekuatan jiwa dan ketulusan hati yang luar biasa. 

Tambahnya lagi, jasa besar seorang jururawat sering tidak terungkap dengan kata-kata, namun pengorbanan mereka amat besar nilainya buat rakyat dan negara.

“Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan kalian. Selamat Hari Jururawat Sedunia,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI