Semua kementerian diminta untuk meneliti semula status tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang dikenal pasti sudah lama tidak dibangunkan.
Perkara itu dinyatakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dalam mesyuarat di pejabatnya, Putrajaya.
Katanya kewujudan tanah terbiar membuka ruang kepada pelbagai aktiviti tidak sah dan melanggar peraturan.
“Ia termasuklah pembinaan penempatan setinggan, rumah ibadat tanpa kebenaran serta kegiatan komersial yang melanggar peraturan,” katanya.
Atas dasar itu, beliau berkata platform seperti Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan dan Kegunaan Tanah Persekutuan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Hal demikian untuk berbincang bersama semua kementerian dalam mencari penyelesaian yang adil, praktikal dan memberi manfaat kepada semua pihak.
Pada 13 April lalu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memandang serius isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sah sama ada di atas tanah kerajaan atau tanah persendirian.
Dalam titahnya pada perasmian pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, baginda mahu setiap pelaksanaan dalam apa jua perkara hendaklah berlandaskan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Malah, titahnya, sebarang tindakan yang mengetepikan saluran serta kelulusan yang sah adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi. – MalaysiaMADANI
