Berita, Siaran Media

PM rakam takziah, kemalangan ragut nyawa pelajar perlu jadi iktibar

Perdana Menteri mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, yang dilaporkan meninggal dunia akibat dirempuh di surau sekolahnya.

Menerusi hantaran di media sosial, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengingatkan supaya perkara tersebut dijadikan iktibar kepada semua pihak dans entiasa berhati-hati dalam setiap aktiviti.

“Tragedi ini harus menjadi iktibar dan peringatan kepada semua supaya sentiasa berhati-hati serta tidak cuai dalam setiap tindakan yang dilakukan,” katanya.

Terdahulu seorang pelajar tingkatan satu di di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas dekat Pengkalan Chepa dilaporkan meninggal dunia selepas cedera parah dirempuh kenderaan dipandu seorang wanita.

Dalam nahas jam 1.50 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, maut di tempat kemalangan yang berlaku di depan surau sekolah berkenaan akibat kecederaan parah yang dialami di kepala.

Rakan mangsa yang cedera parah di bahagian badan, dirawat di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), manakala pemandu kenderaan terbabit tidak cedera.

Kejadian itu berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang memakai kasut sejurus mereka selesai solat Zohor secara berjemaah, sebelum secara tiba-tiba dirempuh sebuah kereta yang dipercayai hilang kawalan. – MalaysiaMADANI