Hubungan baik Malaysia dan Bangladesh terus diperkukuhkan menerusi kunjungan hormat Menteri Buruh dan Pekerjaan Bangladesh, Ariful Haque Choudhury bersama Penasihat kepada Perdana Menteri Bangladesh, Dr Mahdi Amin di Putrajaya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan penuh bermakna itu dilakukan bagi membincangkan kerjasama dua hala serta isu berkepentingan bersama membabitkan kedua-dua negara.
“Saya ulangi ucapan tahniah kepada Tarique Rahman yang dilantik sebagai Perdana Menteri Bangladesh pada 17 Februari lalu.
“Sekali lagi mengulangi jemputan agar beliau berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Menyentuh berhubung kerjasama buruh, Perdana Menteri berkata, Malaysia komited untuk terus melindungi kebajikan ratusan ribu pekerja Bangladesh di negara ini khususnya dalam sektor pembinaan dan pembuatan.
Pada masa sama, tambah beliau, kerajaan menegaskan keperluan untuk mengurangkan kos pengambilan pekerja asing termasuk dari Bangladesh.
Sehubungan itu beliau berkata, Malaysia meminta kerajaan Bangladesh mempertimbang langkah mengurangkan kos tersebut demi kesejahteraan pekerja.
“Insya-Allah, persahabatan Malaysia-Bangladesh akan terus diperkukuh berteraskan saling percaya dan manfaat bersama,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
