Berita

Keutamaan melindungi rakyat, jamin bekalan strategik negara

Kerajaan mengambil berat kesan krisis tenaga global dengan memberi fokus utama melindungi kepentingan rakyat dan kestabilan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) terus meneliti kesan daripada krisis tenaga yang berlaku ketika ini termasuk menjamin keterjaminan bekalan strategik negara.

Beliau berkata, kerajaan terus memperkukuh usaha membanteras ketirisan dan aktiviti penyeludupan melalui pemantauan rantaian bekalan yang lebih ketat.

Kata beliau, pemantauan tersebut dilaksanakan menerusi Ops Tiris 4.0 secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan.

“Kerajaan MADANI juga memberi keutamaan kepada keterjaminan bekalan ubat dan peranti perubatan melalui pemantauan stok berpusat.

“Selain itu, kepelbagaian sumber import serta pelan kecemasan diberi keutamaan bagi memastikan keperluan kritikal sentiasa mencukupi,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Bagi jangka panjang, menurut beliau, kerajaan akan memperkukuh stok penimbal strategik, membangunkan industri tempatan serta merangka dasar menyeluruh melalui MyMedSecure.

Selain itu kata beliau, MTEN turut meneliti operasi haji melibatkan 31,600 jemaah Malaysia dengan keutamaan kepada keselamatan dan kebajikan mereka.

“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara tersusun dan bertanggungjawab untuk mengurus krisis ini dengan berkesan.

“Ini bagi memastikan rakyat sentiasa dilindungi dan negara kekal berdaya tahan,” ujar beliau lagi. -MalaysiaMADANI