Sumbangan besar golongan peneroka sebagai tulang belakang kepada pembangunan luar bandar negara tidak boleh dinafikan dan sewajarnya dihargai sepenuhnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Felda yang bertindak sebagai agensi pelaksana membangunkan tanah dan meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar telah berjaya dilaksanakan sebaiknya.
Sehubungan itu, beliau berkata, fungsi dan tugas Felda tidak boleh dipinggirkan daripada arus pembangunan negara.
Menurut beliau, kemudahan asas kepada golongan peneroka khususnya perkhidmatan kesihatan perlu terus diperkasa dan dinaik taraf termasuk penyediaan pusat dialisis yang lebih lengkap demi menjamin kebajikan warga setempat.
“Kebajikan rakyat termasuk para peneroka, kekal sebagai teras kepada kemajuan dan kekuatan ekonomi negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu, Perdana Menteri berada di Felda Semenchu, Kota Tinggi, Johor untuk menyantuni warga Felda serta menyampaikan amanat kepada komuniti peneroka.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menjelaskan langkah-langkah diambil dalam mendepani krisis di Asia Barat.
Tegas beliau, Kerajaan MADANI tidak akan mengabaikan kepentingan rakyat, sebaliknya akan terus berusaha sedaya upaya memastikan kesejahteraan negara terpelihara walau berdepan cabaran global yang tidak menentu.
Kata beliau lagi, warga Felda diseru untuk terus peka terhadap perkembangan semasa, selain bersama-sama memahami dan menyokong segala usaha kerajaan demi memastikan negara kekal stabil serta berdaya tahan.
Pada majlis sama, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM500,000 bagi membaiki dan menaik taraf keperluan asas termasuk sekolah dan masjid, sekali gus mampu memberi keselesaan serta kesejahteraan masyarakat di Felda Semenchu. -MalaysiaMADANI
